| PENGENALAN
PELOPOR KESENGSARAAN PADA ABAD KE-20
Abad ke-20 yang baru sahaja kita tinggalkan,
merupakan satu abad yang sarat dengan peperangan dan konflik, yang membawa
kepada kesengsaraan, pembunuhan beramai- ramai, kemiskinan, dan kemusnahan
yang dahsyat. Berjuta-juta manusia telah dibunuh, dihapuskan beramai-ramai,
terjerumus ke kancah kebuluran dan kematian, dan juga terbiar tanpa rumah
dan kediaman, tiada pelindungan dan sokongan. Dan semua ini tanpa sebarang
sebab: melainkan kerana perhambaan mereka terhadap ideologi-ideologi sesat.
Berjuta-juta manusia telah terdedah kepada layanan tidak berperikemanusiaan
yang tidak layak diterima walau pun oleh haiwan. Hampir di setiap zaman
pasti terdapat pemerintah-pemerintah dan diktator-diktator yang menyebabkan
semua kesengsaraan dan malapetaka ini: seperti Stalin, Lenin, Trotsky,
Mao, Pol Pot, Hitler, Mussolini, Franco… Ketika sebahagian mereka berkongsi
ideologi yang sama, sebahagian yang lain pula menjadi musuh ketat mereka.
Hanya kerana ideologi mereka yang bertentangan, mereka telah mengheret
seluruh masyarakat kepada konflik dan mengakibatkan saudara menentang
saudara, mendorong mereka memulakan peperangan, melemparkan bom, membakar
dan memusnahkan kereta, rumah, dan kedai-kedai, dan melancarkan demonstrasi-
demonstrasi ganas. Dengan membekalkan mereka senjata-senjata, ia telah
mendorong mereka untuk membelasah hingga mati orang-orang muda, orang-orang
tua, lelaki, wanita dan kanak-kanak atau menyusun mereka menghadap ke
dinding dan kemudian menembak mereka… Mereka menjadi begitu biadab sehingga
sanggup mengacukan pistol ke kepala orang lain dan merenung matanya, kemudian
membunuhnya, dan memijak-mijak kepalanya dengan kaki, hanya kerana dia
menyokong idea berlainan. Mereka mengusir manusia daripada kediaman mereka
tanpa mengira wanita, kanak-kanak atau mereka yang telah tua…
Demikian gambaran ringkas mimpi ngeri abad ke-20 yang baru sahaja kita
tinggalkan: manusia yang menyokong idea-idea yang menimbulkan konflik
dan mereka yang mengheret manusia ke arah kesengsaraan dan pertumpahan
darah untuk menyokong ideologi-ideologi mereka.
Fasisme dan Komunisme menjadi kepala kepada ideologi-ideologi yang menyebabkan
manusia terpaksa menempuh hari-hari yang kelam ini. Ia dilihat sebagai
ancaman, sebagai idea-idea yang saling memusnahkan. Sebenarnya terdapat
satu kenyataan yang menarik di sini: Semua ideologi-ideologi ini telah
disuburkan oleh satu sumber ideologi, mereka mendapat kekuatan dan sokongan
daripada sumber ini, dan terima kasih kepada sumber ini, mereka telah
berjaya mengheret masyarakat memihak kepada mereka. Sepintas lalu, sumber
ini tidak menarik perhatian, sering diabaikan sehingga sekarang, dan sering
menonjolkan kepada masyarakat wajahnya yang bersih. Sumber tersebut ialah
falsafah materialis dan DARWINISME, sebuah falsafah yang diadaptasikan
daripada alam semula jadi.
Darwinisme telah berkembang pada abad ke-19 sebagai satu permulaan semula
sebuah mitos berasal daripada kaum Sumerian dan Greek Purba oleh seorang
pakar biologi amatur Charles Darwin, dan sejak itu telah membentuk idea
berbahaya di sebalik semua idea-idea yang mengancam manusia. Dengan berselindung
di sebalik topeng sains, ia telah membenarkan ideologi-ideologi ini dan
tindakan penyokong-penyokongnya untuk mendapatkan pengesahan palsu.
Dengan pengesahan palsu ini, teori evolusi kemudiannya telah meninggalkan
bindang ilmu biologi dan paleontologi dan mula memberikan ulasan di dalam
bidang hubungan manusia kepada sejarah, dan mula mempengaruhi berbagai
bidang lain daripada politik kepada sosial. Kerana sebahagian dakwaan-dakwaan
asas Darwinisme menyokong beberapa pemikiran yang telah mula bergerak
dan terbentuk pada abad ke-19, ia telah mendapat sokongan padu daripada
golongan-golongan ini. Pada dasarnya, masyarakat telah mula mencuba untuk
menerima idea bahawa terdapatnya "perjuangan untuk hidup" (fight for survival)
di dalam hidupan di alam ini, dan hasilnya, idea bahawa "yang kuat akan
selamat, yang lain pula akan ditewaskan dan lenyap" telah mula mempengaruhi
pemikiran dan tingkah laku manusia. Apabila dakwaan Darwinisme bahawa
alam ini adalah satu tempat untuk bertempur dan berkonflik mula mempengaruhi
manusia dan masyarakat, kecenderungan Hitler untuk membina satu bangsa
utama, dakwaan Marx bahawa "sejarah manusia adalah sejarah pertembungan
kelas-kelas", pandangan kapitalisme bahawa "yang kuat akan menjadi lebih
kuat apabila makin banyak yang lemah", penjajahan negara-negara dunia
ketiga oleh bangsa-bangsa imperialis seperti Britain dan layanan mereka
yang tidak berperikemanusiaan dan kejam, bersama kenyataan bahawa kulit
berwarna masih berhadapan dengan serangan rasialis dan diskriminasi, semuanya
ini telah mendapat justifikasi.
Walaupun beliau adalah seorang evolusionis, Robert Wright, pengarang
buku The Moral Animal merumuskan malapetaka yang telah dibawakan
oleh teori evolusi ini kepada sejarah manusia, seperti berikut:
Teori evolusi mempunyai sejarah aplikasi yang
panjang, hebat dan kotor ke atas kehidupan manusia. Setelah
campur tangan di dalam falsafah politik sekitar abad ini untuk membentuk
satu ideologi kabur yang dikenali sebagai "Darwinisme sosial", ia telah
jatuh ke tangan rasialis, fasis, dan kapitalis yang kejam.1
Seperti yang akan dilihat di dalam buku ini dan daripada bukti-bukti
yang dikemukakannya, Darwinisme bukan hanya sebuah teori yang hanya hendak
menjelaskan asal usul hidupan dan terbatas kepada bidang ilmu sains. Darwinisme
adalah satu dogma yang masih dipertahankan oleh penyokong-penyokong ideologi
tertentu, di samping kenyataan bahawa ia telah dibuktikan palsu daripada
pandangan sains. Hari ini banyak pakar sains, ahli politik dan pemikir,
sama ada mereka menyedari atau tidak wajah jahat Darwinisme, telah memberikan
sokongan mereka kepada dogma ini.
Sekiranya setiap orang dapat memahami kepalsuan saintifik teori ini,
yang telah bertindak sebagai satu inspirasi kepada diktator-diktator dan
mentaliti yang kejam dan beberapa pemikiran yang zalim, tidak berperikemanusiaan,
dan mementingkan diri sendiri, ia akan dapat menghapuskan ideologi-ideologi
yang berbahaya ini. Mereka yang melakukan kejahatan tidak akan dapat mempertahankan
diri mereka dengan menyatakan, "Tetapi ini adalah undang-undang alam".
Mereka akan kehilangan sokongan saintifik untuk sifat mementingkan diri,
dan kekejaman mereka.
Apabila idea Darwinisme, punca ideologi bahaya ini, telah dimusnahkan,
hanya satu kebenaran akan tinggal. Iaitu kebenaran bahawa semua manusia
dan alam ini telah dijadikan oleh Allah. Mereka yang memahami perkara
ini juga akan menyedari bahawa satu-satunya realiti dan kebenaran adalah
di dalam kitab suci yang telah diturunkan kepada kita. Apabila sebahagian
besar masyarakat mula menyedari kebenaran ini, keperitan, masalah, pembunuhan
beramai-ramai, mala petaka, ketidakadilan, dan kemiskinan akan bertukar
dengan kesedaran, keterbukaan, kekayaan, kelapangan, kesihatan dan kemewahan.
Untuk itu, setiap idea songsang yang berbahaya kepada manusia perlu ditewaskan
dan dimusnahkan oleh idea mulia yang akan membawa kebahagiaan kepada manusia.
Dengan membalas lontaran batu dengan melontar kepada orang lain, membalas
pukulan dengan pukulan, dan membalas agresif dengan agresif, bukan penyelesaiannya.
Penyelesaiannya ialah dengan menolak idea mereka yang melakukan perkara-perkara
ini dan menjelaskan kepada mereka dengan baik dan sabar, perkara sebenar
yang perlu mereka gantikannya.
Tujuan penulisan buku ini ialah untuk menunjukkan kepada mereka yang
mempertahankan Darwinisme tanpa melihat keburukannya, secara disedari
atau tidak, apakah sebenarnya yang mereka pertahankan itu, dan untuk menjelaskan
apakah tanggungjawab yang terpaksa mereka pikul selagi mana mereka masih
pura-pura tidak melihat kebenarannya. Tujuan lain pula bukan sekadar untuk
mengingatkan mereka yang tidak mempercayai Darwinisme, tetapi juga mereka
yang tidak melihat Darwinsime sebagai satu ancaman kepada manusia. |